Semua bayi menangis pada masa-masa tertentu. Mereka perlu menangis.
Bayi baru lahir
yang sihat pun akan menangis juga selama satu hingga tiga jam sehari.
Oleh kerana mereka tak dapat membuat apa-apapun untuk diri sendiri, bayi
bergantung kepada orang lain untuk memberi mereka makanan, kepanasan
dan keselesaan yang mereka perlukan. Tangisan adalah cara bayi
memberitahu bahawa mereka perlukan sesuatu.
Sebagai ibu atau bapa baru, ada masanya anda mendapati sukar untuk
menentukan apakah yang bayi anda perlukan. Adakah dia lapar, sejuk,
haus, bosan atau sekadar mahu dipeluk? Dalam beberapa hari pertama,
semasa anda belum tahu bagaimana hendak mengenal pasti keperluan bayi
anda, tangisan ini boleh membuat anda rasa bimbang. Namun begitu, lambat
laun anda akan mula mengecam gaya tangisannya yang berlainan dan
setelah anda lebih mengenalinya, anda akan dapat memenuhi keperluannya.
Semasa
membesar,
bayi juga akan mempelajari lain-lain cara untuk berkomunikasi dengan
kita. Mereka menjadi lebih cekap menyatakan sesuatu dengan menggunakan
kontak mata, membuat bunyi-bunyi tertentu, dan juga dengan
senyuman. Semua ini dapat mengurangkan keperluan untuk menangis.
Sebab-sebab biasa bayi menangis ada disenaraikan di bawah. Jika bayi
anda sukar ditenangkan, cubalah panduan ini satu persatu. Dengan cara
ini, anda akan rasa lebih lega kerana telah cuba memenuhi keperluannya
sebaik yang mungkin.
1. Saya perlukan makanan
Lapar adalah sebab utama bayi menangis. Bayi yang lebih kecil lebih
berkemungkinan menangis kerana lapar, kecuali dalam tempoh satu atau dua
hari selepas dilahirkan kerana pada ketika ini dia hanya minum sedikit
sahaja. Jika anda mengamalkan
penyusuan badan,
anda mungkin sedar akan perkara ini, kerana susu awal atau kolostrum
yang sangat pekat dikeluarkan dalam jumlah yang sedikit. Anda juga
mungkin sedar bahawa susu mula keluar dengan banyak sekitar hari ketiga.
Perut bayi yang kecil tidak dapat menyimpan begitu banyak. Oleh itu, dia
akan kerap lapar. Jika bayi anda menangis, cuba berikan dia susu kerana
besar kemungkinan dia sedang lapar. Dia tidak akan berhenti menangis
dengan serta merta, tapi teruskan penyusuan jika dia mahu, dan dia akan
mula bertenang apabila perutnya terisi.
Walau bagaimanapun, jika bayi anda sudah disusukan dan dia masih menangis, mungkin dia menyatakan keperluan seterusnya.
2. Saya perlukan keselesaan
Bayi sudah tentu akan membantah jika baju mereka terlalu ketat atau jika
lampin kotor
membuatkan mereka rasa tidak selesa. Setengah bayi tidak begitu
cerewet. Lampin yang penuh mungkin tidak mengganggu mereka. Tetapi
sesetengah bayi akan menjerit dan minta lampin ditukarkan dengan segera,
terutama sekali jika kulit mereka terasa gatal atau tidak selesa.
Memeriksa lampin bayi dan menukarkannya mungkin akan memenuhi
keperluannya, jadi eloklah dicuba. Ia juga memberi peluang untuk anda
memeriksa yang lampinnya tidak terlalu ketat atau tiada perkara lain
melibatkan pakaiannya yang membuatkan dia tidak selesa.
3. Saya perlu kehangatan - tidak terlalu panas atau terlalu sejuk
Setengah
bayi baru lahir tidak suka ditukarkan lampin atau
dimandikan.
Mereka tidak biasa merasa udara menyentuh kulit mereka dan lebih suka
dibalut panas. Jika bayi anda seperti ini, anda akan cepat tahu
bagaimana hendak menukarkan lampin dengan segera supaya bayi anda boleh
bertenang semula.
Berhati-hatilah supaya tidak memakaikan terlalu banyak lapis baju,
sehingga dia akan terlalu panas. Satu petua ialah dengan mengingati yang
dia memerlukan satu lapis pakaian lebih daripada anda untuk rasa
selesa.
Jika dia berada di
katil bayi atau
bakul bayi, cuba gunakan cadar atau selimut berlubang-lubang sebagai
alas tilam
dan bukannya selimut tebal supaya anda boleh menambah atau membuang
satu lapisan apabila perlu. Anda boleh memeriksa samada bayi anda
terlalu panas atau sejuk dengan menyentuh perutnya: jika dia terasa
terlalu panas, buangkan satu lapisan selimut, jika dia sejuk, tambah
satu. Jangan berpandu kepada suhu tangan atau kakinya kerana adalah
normal bagi kaki dan tangan terasa agak sejuk.
Kebanyakan farmasi di Malaysia ada menjual termometer. Anda boleh
menggunakannya untuk mengambil suhu badan bayi jika kurang pasti.
Kekalkan suhu di bilik bayi anda pada 24 atau 25 darjah C, dan letakkan
dia menelentang dengan kaki di hujung katil bayi supaya dia tak boleh
bergolek sehingga tenggelam di bawah selimut dan menjadi terlalu panas.
4. Saya perlu dipeluk
Setengah bayi sangat suka dipeluk dan dimanjakan. Bayi yang lebih besar akan menjadi tenang jika dia boleh nampak anda dan
mendengar
suara anda dalam bilik, tetapi bayi yang baru lahir lebih memerlukan
sentuhan fizikal untuk menjadi selesa. Jika anda telah memberi bayi
makan dan menukar lampinnya, anda akan dapati bahawa sekarang dia hanya
mahu dipeluk.
Setengah ibu dan bapa bimbang bayi mereka akan menjadi terlalu
manja
jika didukung berlebihan, tetapi sebenarnya, dalam bulan-bulan pertama
kehidupannya, perkara ini agak mustahil. Sesetengah bayi tidak perlu
terlalu banyak sentuhan fizikal, manakala yang lain mahu dipeluk hampir
sepanjang masa. Jika bayi anda perlu banyak didukung, anda mungkin mahu
mencuba
gendongan bayi,
yang membolehkan bayi berada rapat dengan anda dan membebaskan tangan
anda untuk membuat kerja lain. Ini mungkin jalan terbaik bagi anda
berdua.
5. Saya perlukan rehat
Memang mudah bagi kita menyangka yang bayi akan tertidur apabila mereka
mengantuk, tidak kira di mana mereka berada kerana kebanyakan bayi
berbuat demikian. Tetapi, jika bayi anda telah mendapat terlalu banyak
perhatian - mungkin hari itu sibuk dan ramai
pelawat datang ke rumah - dia mungkin terlalu terangsang dan mendapati sukar untuk "tutup suis" dan bertenang.
Bayi baru lahir
mendapati sukar untuk mengurus rangsangan yang terlalu banyak pada
satu-satu masa hingga boleh menjadi gelisah. Cahaya lampu, bunyi bising
dan saudara mara yang masing-masing mahu menarik perhatiannya cukup
membuatkan dia resah.
Ramai ibu bapa mendapati bayi menangis lebih daripada biasa apabila
saudara mara datang melawat, atau apabila petang menjelma. Jika anda
tidak nampak sebab tertentu mengapa bayi anda menangis, dia mungkin cuba
memberitahu anda, "Saya dah tak tahan lagi". Jika anda bawa dia ke
tempat yang tenang dan senyap, kurangkan ransangan secara perlahan, dia
mungkin akan mengeskspresikan perasaannya dengan menangis sekejap
sebelum betenang dan terus
tidur.
6. Saya perlukan sesuatu untuk membuat saya rasa lebih sihat
Jika anda telahpun memberi bayi makan dan memastikan dia selesa, tetapi
dia masih terus menangis, anda mungkin tertanya-tanya samada dia
sakit
atau mengalami kesakitan. Mereka yang baru bergelar ibu atau bapa
sering mendapati sukar untuk mengetahui samada bayi mereka menangis
kerana dia adalah bayi yang tidak gembira (sesetengah bayi begitu, dan
mereka mengambil masa yang panjang untuk menyesuaikan diri untuk hidup
di dunia) atau samada memang ada sesuatu yang tak kena.
Bayi yang sakit lazimnya menangis dengan suara yang berlainan daripada
tangisan biasa. Tangisan kesakitan mungkin berbunyi cemas atau nyaring.
Begitu juga dengan bayi yang sering menangis; sekiranya dia mula diam,
ini mungkin petanda yang dia kurang sihat. Yang paling penting untuk
diingati ialah tiada siapa yang mengenali bayi anda seperti anda
sendiri. Jika anda rasa mungkin ada masalah tertentu,
hubungilah pakar pediatrik atau doktor keluarga anda.
Pakar perubatan profesional lazimnya akan menimbangkan kebimbangan anda
secara serius, dan anda akan merasa lebih tenang jika diberitahu tiada
sebab fizikal bayi anda menangis. Anda perlu menghubungi doktor jika
bayi anda mengalami kesesakan nafas apabila menangis, atau jika tangisan
diikuti dengan:
7. Saya perlukan sesuatu ... tetapi saya tak tahu apa yang saya mahu
Kadang-kala anda mungkin tidak dapat menduga apakah masalahnya apabila
bayi anda menangis. Ramai bayi baru lahir melalui masa-masa apabila dia
meragam dan sukar dipujuk. Keadaan tidak gembira atau tangisan yang
sukar dipujuk ini boleh berlangsung selama beberapa minit atau beberapa
jam. Tangisan yang tidak berhenti selama beberapa jam ini juga dikenali
sebagai kembung atau kolik.
Kembung atau
kolik
didefinisikan sebagai tangisan yang tidak dapat ditenangkan yang
berlangsung selama sekurang-kurangnya tiga jam sehari, tidak kurang
daripada tiga hari dalam seminggu. Ramai ibu bapa mendapati sukar untuk
menguruskan bayi yang menghidap kolik, dan keadaan itu boleh menyebabkan ketegangan bagi seluruh keluarga.
Tiada rawatan ajaib bagi kolik, tetapi keadaan itu tidak akan
berlanjutan lebih dari tempoh tiga bulan. Jika anda sentiasa boleh
mengingatkan bahawa keadaan bayi anda itu
akan pulih apabila dia membesar, anda mungkin rasa lebih lega.
Anak saya sedang menangis. Apa yang harus saya lakukan?
Ada
beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk cuba menenangkan bayi
yang menangis. Tidak semuanya berkesan untuk semua bayi, jadi anda perlu
memahami bayi anda sedikit demi sedikit untuk mengetahui apa yang
sesuai baginya dan bagi anda.
Bedungkan dia dan peluk dengan kuat
Bayi baru lahir menunjukkan kegemaran untuk rasa rapat dan selamat, sama seperti masa di dalam rahim, jadi anda mungkin mahu cuba
membedungkan
bayi anda dengan selimut dan memerhatikan samada dia suka dibedung.
Ramai ibu dan bapa juga mendapati bahawa memeluk bayi rapat, terutama
sekali apabila bayi boleh mendengar denyutan jantung ibu bapa, atau
meletakkan bayi dalam
gendongan
menyamankan. Sesetengah bayi yang lain pula mungkin merasa bedung
terlalu menyekat dan lebih sukakan lain cara untuk ditenteramkan seperti
dibuai atau dinyanyikan.
Dapatkan ritma yang sekata
Dalam rahim, bayi anda boleh mendengar denyutan jantung anda: itu satu
sebab bayi masih suka dipeluk rapi. Walau bagaimanapun, bunyi-bunyi lain
yang teratur dan berulang boleh juga mendatangkan kesan tenteram. Anda
boleh cuba memainkan muzik yang lembut atau menyanyi
senandung buaian.
Ramai ibu bapa mendapati yang bayi mereka boleh mendengar ritma mesin
basuh yang teratur atau bunyi bercorak 'hingar putih' yang dihasilkan
oleh pembersih vakum atau pengering rambut, yang dapat membuatkan mereka
tertidur. (Jangan sekali-kali meletakkan bayi anda di atas mesin basuh
atau pengering kain pada bila-bila masa sekalipun. Sebaliknya, letakkan
dia di atas lantai berdekatan dengan mesin tersebut.)
Buai-buaikan bayi
Kebanyakan bayi suka dibuai perlahan-lahan, dan anda mungkin dapati
bahawa bayi anda boleh ditenangkan dengan cara ini, iaitu samada dengan
mendodoinya sambil berjalan atau meletakkannya di pangkuan sambil anda
duduk di kerusi goyang. Buaian bayi yang khas atau
kain gendong tradisional
boleh menenangkan sesetengah bayi, manakala sesetengah yang lain pula
lebih selesa jika bergerak dengan laju dan terus tertidur apabila dibawa
berjalan dalam kereta.
Cuba kaedah urutan
Mengurut bayi
atau menggosok belakang atau perutnya dengan perlahan boleh membantu
menenangkannya. Jika anda nampak dia seperti dalam kesakitan akibat
angin,
cuba susukan dia dalam posisi tegak dan tepuk belakangnya dengan lembut
selepas penyusuan dengan menyandarkannya di bahu anda. Bayi yang
menghidap kolik kadang-kala rasa selesa jika perut mereka digosok, dan
anda pun akan berpuas hati sebab sekurang-kurangnya telah mencuba
membantu bayi yang cemas.
Biarkan dia menghisap sesuatu
Bagi setengah bayi baru lahir, dorongan untuk menghisap amat kuat dan menghisap
puting
atau jari (yang bersih) atau ibu jari boleh mendatangkan memberi
ketenangan. "Hisapan penyelesa" boleh mengaturkan kadar denyutan jantung
bayi, merelakskan perutnya dan membantu dia bertenang.
Jangan menaruh harapan yang terlalu tinggi terhadap diri anda
Bayi yang menangis tidak berhenti-henti tidak akan memudaratkan dirinya
dalam jangka masa panjang, tetapi mungkin menyebabkan banyak
stres dan kebimbangan bagi ibu bapanya. Jika bayi anda kelihatan tidak gembira dan menolak sebarang usaha anda untuk
menceriakan
atau menenangkannya, ini mungkin membuatkan anda rasa kecewa. Ibu bapa
sering menyalahkan diri sendiri. Mereka merasakan bahawa ketidakcekapan
mereka sebagai ibu bapalah yang menyebabkan bayi mereka menangis. Tetapi
ini bukan hakikatnya.
Jika anda sudah pasti keperluan bayi anda telah dipenuhi dan tiada
perkara fizikal yang menyebabkan bayi anda menangis, dan jika anda telah
mencuba segala-galanya untuk menenangkannya tetapi tiada yang berhasil,
sudah tiba masanya bagi anda menjaga
diri sendiri supaya anda tidak rasa tertewas. Di sini diberikan beberapa cadangan:
- Tarik nafas panjang.
- Letakkan bayi anda di satu tempat buat sementara dan biarkan dia menangis untuk seketika tanpa didengari oleh anda.
-
Jika membantu, mainkan muzik yang nyaman dan relakskan diri sendiri untuk 10 minit.
-
Panggil kawan atau saudara untuk mendapatkan sokongan. Berehatlah buat sementara dan biarlah orang lain menjaga bayi anda untuk sekejap.
- Cari
kumpulan sokongan atau kumpulan ibu-dan-bayi di mana anda boleh
berkongsi perasaan anda dan berbincang dengan ibu bapa baru yang lain
tentang cara untuk menangani tangisan bayi. Direktori A-Z kami mungkin mempunyai sumber yang boleh membantu anda.
- Ingatkan
diri anda bahawa bayi anda tiada mempunyai sebarang masalah dan
tangisan itu tidak akan mencederakan dia. Kadangkala cuma dengan
menerima kenyataan yang anda mempunyai bayi yang banyak menangis akan
membantu, sebab anda tidak akan membuat diri anda letih dengan
mencari-cari sebab-sebab tangisan itu, menyalahkan diri anda, atau
melakukan pelbagai rawatan yang tidak berkesan.
- Ingatkan diri anda bahawa ini fasa sementara dan akan berlalu.
Menjadi ibu atau bapa bayi baru lahir merupakan tugas yang berat.
Menjadi ibu atau bapa bayi baru lahir yang banyak menangis adalah tugas
yang lebih berat lagi. Dapatkan bantuan dan sokongan apabila anda
memerlukannya, jangan tunggu sampai masalah itu menjadi teruk. Dan
bertenanglah dengan mengingatkan bahawa setiap hari, apabila bayi
semakin membesar, dia akan mempelajari cara-cara baru untuk
mengkomunikasikan keperluan dia kepada anda. Secara perlahan-lahan,
apabila dia mula berbuat demikian, tangisan itu
akan berhenti.